Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 dijangka disalurkan kepada penerima yang layak sebelum Hari Raya Haji ini melibatkan peruntukan melebihi RM2 bilion dan akan memanfaatkan lapan juta penerima. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 dijangka disalurkan kepada penerima yang layak sebelum sambutan Hari Raya Haji, umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memberitahu Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata, bayaran tersebut melibatkan peruntukan melebihi RM2 bilion dan akan memanfaatkan lapan juta penerima.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai Sumbangan Tunai Rahmah (STR), sila layari laman web https://bantuantunai.hasil.gov.my/
"Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 yang melebihi RM2 bilion dengan bilangan penerima lapan juta akan disalurkan sebelum Hari Raya Haji, Insya-Allah.
"Ebelia sebanyak RM200 melibatkan belia berusia 18 hingga 21 tahun akan disalurkan sebelum minggu ketiga bulan ini," kata beliau.
Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut Hari Raya Haji atau Hari Raya Aidiladha pada 29 Jun ini.
Mengenai belanjawan untuk meringankan beban kos sara hidup pula, Perdana Menteri berkata
sehingga Mei ini, sebanyak RM158 bilion atau 41 peratus daripada keseluruhan peruntukan Belanjawan 2023 telah belanjakan.
"Ini kapasiti terbaik suku tahun pertama dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. (Daripada jumlah tersebut) RM3 bilion bayaran fasa pertama dan kedua Sumbangan Tunai Rahmah yang memanfaatkan lapan juta orang penerima.
"Selain itu, bantuan khas kewangan kepada lebih satu juta pesara dan 1.3 juta penjawat awam, RM3 bilion untuk subsidi elektrik, RM11 bilion subsidi produk petroleum dan RM800 juta bantuan awal persekolahan.
"Pengecualian setem 100 peratus diberi bagi pembelian rumah berharga tidak lebih RM500,000, pengecualian duti setem 75 peratus untuk pembelian rumah berharga di antara RM500,000 hingga RM1 juta
"Duti setem ke atas surat pindah milik harta tanah serta secara kasih sayang melibatkan ibu bapa anak, datuk, nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya terhad kepada satu juta pertama nilai harta tanah," ujar Anwar lagi.
Perdana Menteri menjawab pertanyaan Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta menyatakan pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan dalam pendekatan serta tata kelola undang-undang atau peraturan untuk mengekang ketirisan dan kebocoran wang awam serta adakah kerajaan akan meneruskan pelaporan perbelanjaan dan pemantauan Belanjawan Negara.
Sumber: AstroAwani