PKP Penuh Diteruskan Hingga Kes Harian Bawah 4,000 – PM

 

Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto Theborneopost


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh atau “total lockdown” akan diteruskan sehingga jangkitan harian di bawah 4,000 kes.


Muhyiddin dipetik Bernama sebagai berkata, PKP penuh tidak akan berakhir esok dan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara akan diteruskan.


PKP penuh sepatutnya berakhir esok, selepas dilanjutkan dua minggu sejak dimulakan 1 Jun lalu.


Susulan lanjutan “lockdown” yang tidak tahu sehingga bila itu, Muhyiddin berkata, Putrajaya akan mengumumkan lebih banyak bantuan, sama ada esok atau Selasa ini.


Katanya, langkah bantuan itu akan ditujukan kepada semua kumpulan masyarakat.


Pada 31 Mei lalu, Muhyiddin mengumumkan pakej bantuan PEMERKASA Tambahan berjumlah RM40 bilion, termasuk RM5 bilion dalam bentuk suntikan fiskal langsung.


Tetapi, ramai mengkritik pakej bantuan itu tidak mencukupi untuk membantu rakyat dan perniagaan ketika PKP penuh.


Ia disusuli pengumuman oleh Muhyiddin mengenai Pelan Pemulihan Negara yang terdiri daripada empat fasa.


Katanya, kerajaan akan menimbangkan peralihan daripada Fasa I ke Fasa II apabila purata kes harian berkurangan sehingga ke bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi di tahap kritikal dan 10% penduduk lengkap dua dos vaksin.


Negara akan beralih ke Fasa III jika purata kes harian turun ke bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam di tahap selesa dengan kadar penggunaan katil ICU di paras mencukupi dan 40% penduduk lengkap dua dos vaksin.


Manakala semua sektor akan dibenarkan dibuka di bawah Fasa IV apabila purata kes harian Covid-19 berkurangan kepada 500 kes ke bawah dan 60% penduduk lengkap dos suntikan vaksin.


Jumlah jangkitan harian Covid-19 terus kekal sekitar 5,000 ke sejak seminggu lalu.-Sabahpost


Sumber: Sabahpost


ikuti post ini di group telegram kamii jangan terlepas..

👉 https://t.me/info_sabah