5 anggota kumpulan Abu Sayyaf ditembak mati di Sabah

Polis yakin telah berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah. (Gambar Reuters)


KOTA KINABALU: Polis menembak mati lima anggota kumpulan militan Abu Sayyaf dalam operasi khas yang dijalankan di kawasan setinggan di paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort pagi semalam.


Salah seorang daripada suspek itu adalah “sub leader” Abu Sayyaf dikenali sebagai Mabar Binda yang dikehendaki kerajaan Filipina, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali.


Beliau berkata, tiga lagi suspek dikenali sebagai Abhirsham Samsula@Samseed, Jurakhdam Binda, Alsimar Sukarno, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti namanya.


Kesemua suspek dianggarkan berusia antara 20-an hingga 40-an.


“Dengan tumpasnya lima anggota kumpulan ini, polis yakin telah berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah, dan yang telah melakukan ba’iah dengan kumpulan militan Daesh.


“Polis juga mengesyaki masih lagi ada saki baki dan tali barut (kumpulan itu) yang bersembunyi di Malaysia, khususnya di Sabah, dan kita sedang menyiasat perkara ini,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini hari ini. -FMT


Sumber: FMT


Group Baru Join kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah dan banyak lagi: klik 

👉 https://t.me/info_sabah

Catat Ulasan

0 Ulasan