Vaksin AstraZeneca disahkan selamat, penerima umur 60 tahun ke atas

Gambar fail) Vaksin AstraZeneca - FOTO AFP


PUTRAJAYA: Vaksin AstraZeneca disahkan selamat untuk digunakan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang kini memasuki pelaksanaan fasa kedua.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata vaksin itu akan digunakan untuk imunisasi golongan berusia 60 tahun ke atas yang dinilai sebagai paling sesuai menerimanya.


Beliau memaklumkan, vaksin itu akan digunakan dalam fasa kedua program imunisasi berkenaan, namun tidak menyatakan bila pemberiannya dijadualkan bermula.


"Vaksin AstraZeneca selamat untuk digunakan serta berkesan. Ia akan digunakan untuk mereka yang berusia 60 tahun ke atas sebagai paling sesuai.


"Sebanyak 280,000 dos (vaksin AstraZeneca) sudah tiba dan kita akan menggunakannya," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong, serta Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut kesihatan Negara (NIH), Dr Kalaiarasu M Peariasamy.


Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, Malaysia kini mempunyai banyak calon vaksin, termasuk jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac, selain AstraZeneca.


Sementara itu, Dr Kalaiarasu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pemilihan Calon Vaksin COVID-19 (JKKPCV) Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan bahawa dari segi praklinikal, vaksin AstraZeneca yang menggunakan platform 'viral vector' adalah baik untuk digunakan dalam usaha mencegah wabak COVID-19.


Beliau berkata, keputusan menggunakan vaksin AstraZeneca itu dibuat selepas Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dipengerusikan Dr Adham bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, memohon pendapat jawatankuasa panel diketuai oleh Dr Hishamshah.


Selepas meneliti pelbagai data panel, katanya, KKM berpendapat vaksin AstraZeneca mendatangkan kebaikan dan kes pembekuan darah berkait pengambilannya adalah kurang berlaku.


Beliau berkata, 22 pakar daripada pelbagai disiplin menyertai panel itu, manakala tiga syarat ditetapkan dalam menentukan penggunaan vaksin AstraZeneca, iaitu mampu mengurangkan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) serta risiko kematian akibat COVID-19.


"Jika dibandingkan risiko dan kebaikan vaksin itu, ia sesuai digunakan untuk golongan berusia 60 tahun ke atas," katanya.


Pada masa sama, Dr Kalaiarasu berkata, pihaknya akan meneliti data dari negara lain berhubung kegunaan vaksin AstraZeneca untuk golongan dewasa berusia 18 dan 40 tahun ke atas di Malaysia.


"Syor penggunaan vaksin AstraZeneca ini akan disesuaikan semula selepas kita meneliti data yang ada," katanya. - Bharian


Foto Bharian

Sumber: Bharian


Group Baru Join kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah dan banyak lagi: klik 

👉 https://t.me/info_sabah


Catat Ulasan

0 Ulasan