Suntikan Vaksin COVID-19 Sasaran lebih 23.6 juta orang mengikut fasa


 Alhamdulillah kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech telah selamat tiba pada jam 10 pagi hari ini, 21 Februari 2021, di Advanced Cargo Centre (ACC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH604 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo).


Insya-Allah, Malaysia akan mula melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 24 Februari 2021 melalui tiga (3) fasa iaitu:


A) Fasa 1 (Februari – April 2021): untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

B) Fasa 2 (April – Ogos 2021): untuk kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi serta OKU melibatkan 9.4 juta orang; dan

C) Fasa 3 (Mei 2021 – Februari 2022): untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara) dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.


Bagi mereka yang diklasifikasikan dalam fasa 2 dan 3, saya harap anda boleh bersabar dan terus menyokong usaha kerajaan untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini sementara proses pemberian vaksin untuk kumpulan fasa 1 dilakukan.







Justeru saya juga berharap agar saudara dan saudari yang layak diberikan suntikan vaksin mendaftar apabila pendaftaran dibuka dalam waktu yang terdekat dan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing seperti yang dijadualkan.


Vaksinasi ini amat penting untuk kita semua bagi membentuk imuniti berkelompok (herd immunity) dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia menerima vaksin. Ini secara langsung dapat membendung penularan jangkitan COVID-19 ini daripada menjadi lebih teruk.


Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin dan semua pihak serta agensi yang terlibat, khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pengangkutan, dan Malaysia Airlines Berhad untuk pastikan bekalan vaksin selamat tiba di Malaysia.

 

Lindung Diri, Lindung Semua.


sumber: Muhyiddin Yassin



Catat Ulasan

0 Ulasan