Pemain veteran Sabah FC, Amri Yahyah, berkata bahawa motivasinya untuk terus bermain adalah demi membantu pemain muda beraksi di tahap tertinggi sambil mengakui ramai pemain berbakat di negeri itu tetapi mereka tidak mahu keluar menyertai pasukan lain.
Kelmarin, Amri dan bekas penyerang skuad B-23 nagara, N. Thanabalan, diumumkan sebagai pemain baru skuad Badak itu.
Pada usia yang mencecah 40 tahun, musim ini merupakan tahun ke-20 penyerang kelahiran Tanjong Karang itu beraksi dalam saingan bola sepak tempatan.
Amri sudah menjulang segala bentuk trofi yang ditawarkan dalam arena bola sepak kebangsaan tetapi atas dasar tanggungjawab, dia masih mahu terus beraksi demi mencurahkan ilmu dan pengalamannya buat pemain yang lebih muda.
Dalam satu temubual Nadi Weekend hari ini, dia berkata: "Memang benar saya sudah dapat segala pencapaian dan piala, cuma kini saya mahu membantu pemain muda agar mereka dapat bermain di peringkat yang lebih tinggi dan berani untuk menghadapi segala halangan.
"Saya mahu membantu mereka supaya tidak perlu menunggu usia yang sudah lanjut untuk mendapatkan tahap permainan tertinggi.
"Saya harap dengan apa yang saya ada, saya dapat mencurahkannya kepada pemain muda agar mereka lebih bagus pada masa akan datang."
Mengulas mengenai pemilihan Sabah FC, bekas pemain Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menambah: "Saya lihat ramai pemain yang berbakat di Sabah cuma mereka hanya bermain di Sabah sahaja, mereka tidak mahu keluar.
"Saya harap pemain muda di Sabah dapat keluar daripada kelompok itu untuk mengembangkan bakat mereka dan akan lebih berjaya di luar dan nama Sabah akan terkenal di mana-mana." -Stadiumastro
Sumber: Stadiumastro
Group Baru Join kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah dan banyak lagi: klik