Penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 majikan kurang 5 pekerja bermula esok - BH


KUALA LUMPUR: Bermula esok, penguatkuasaan gaji minimum sebanyak RM1,500 akan dilaksanakan membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.

Ketetapan tarikh itu diputuskan kerajaan akhir tahun lalu, selepas majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja dibenarkan menangguhkan pemberian gaji minimum terbabit sehingga enam bulan, berbanding ditetapkan 1 Januari lalu sebelum ini.

Ia membabitkan semua sektor termasuk perladangan, pertanian dan pembuatan kecuali perkhidmatan domestik dan aparentis.

Pelaksanaan gaji minimum baharu diluluskan kerajaan pada 19 Mac 2022 dan diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 27 April, tahun lalu.


Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 kemudiannya dikuatkuasakan 1 Mei 2022 dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.

Namun bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja, kerajaan membenarkan penangguhan pelaksanaan gaji minimum itu sehingga esok.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, dilaporkan berkata sebelum ini, keputusan itu dibuat kerajaan selepas mengambil kira soal kesediaan majikan dalam kategori berkenaan bagi menguatkuasakan gaji minimum baharu kepada pekerja mereka.

Keputusan penangguhan itu dibuat sebelum ini setelah kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan yang dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun depan.



Sumber: BHarian / Menteri Sumber Manusia

Catat Ulasan

0 Ulasan