Bantuan Khas Aidilfitri Akan Dibayar 17 April


Kakitangan awam antara tersenarai menerima Bantuan Khas Aidilfitri mulai 17 April ini. - Foto hiasan/Kementerian Kewangan


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada 3.5 juta penerima pada 17 April ini.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata penerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri ini merangkumi penjawat awam, pesara kerajaan, pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan.


Katanya, turut tersenarai ialah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba.


Beliau berkata, Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri itu membabitkan peruntukan RM1.572 bilion.


"Penjawat awam akan menerima RM700 dengan peruntukan RM988 juta membabitkan 1.4 juta penerima manakala sejuta pesara kerajaan akan menerima RM350 dengan peruntukan RM350 juta," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Bank Simpanan Nasional (BSN), hari ini.


Ahmad Maslan berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM170 juta kepada 850,000 pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan yang akan menerima sumbangan bantuan khas RM200 seorang.


Katanya, anggota RELA, sukarelawan APM, sukarelawan polis dan bomba bakal menerima RM300 membabitkan 213,000 penerima dengan peruntukan berjumlah RM64 juta.


"Ini adalah bukti kerajaan prihatin dan sentiasa ingin membantu semua pihak dalam meringankan beban.


"Pembayaran akan mula dibuat 17 April ini sebelum Aidilfitri," katanya.


Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mengumumkan empat inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023, antaranya membabitkan bantuan Aidilfitri.


Join Telegram Rasmi Untuk info percuma - https://t.me/infomediabah


Sumber: BHarian / Kementerian Kewangan

Catat Ulasan

0 Ulasan