Bajet2022 info

80,000 pekerja pembersihan belum terima gaji minimum baru RM1,500

Admin
July 20, 2022
0 Comments
Home
Bajet2022
info
80,000 pekerja pembersihan belum terima gaji minimum baru RM1,500
PEKERJA pembersihan didakwa masih belum menerima gaji minimum RM1,500. Foto FMT


Dianggarkan sejumlah 80,000 pekerja pembersihan kontrak di sekolah dan hospital belum memperoleh gaji minimum RM1,500 meskipun dikuatkuasakan sejak 1 Mei lalu.


Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pengurusan Sisa Semenanjung Malaysia (Kesatuan), Kamarul Baharin Mansor berkata, antara alasan yang diberikan adalah kerana kontrak perjanjian dengan kontraktor masih berdasarkan gaji minimum lama.


Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana akta sudah ditetapkan selain rakyat kini sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.


“Kebanyakan pendapatan pekerja pembersihan kontrak masih pada kadar RM1,200. Apabila kita soalkan pada majikan, mereka jawab kontrak lama dan kontrak baharu tak perbaharui lagi, padahal dalam undang-undang tak kata kontrak apa-apa.


“Majikan sepatutnya bertanggungjawab kerana apa alasan sekali pun dia bertanggungjawab ke atas perkara yang sudah ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei lepas di seluruh negara.


Pelaksanaan itu diwartakan membabitkan seseorang majikan mengambil kerja lima orang pekerja atau lebih.


Ketetapan itu juga terpakai membabitkan majikan tanpa mengira bilangan pekerja diambil dan menjalankan aktiviti profesional dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia sebagaimana diterbitkan secara rasmi oleh Kementerian Sumber Manusia.


Kamarul Baharin mendesak supaya kerajaan melakukan penguatkuasaan dengan lebih tegas bagi mengelakkan perkara itu berlarutan.


Katanya, majikan tidak akan berani mengambil kesempatan sekiranya ada penguatkuasaan yang menyeluruh.


“Majikan buat tak tahu sebab tahu kerajaan tak akan buat apa-apa tindakan pun. Jadi kita harap benda ini dapat diselesaikan segera,” ujarnya.


Katanya beliau akan membawa isu berkaitan ketidakpatuhan kadar gaji itu pada Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan yang bersidang pada 15 Julai ini.


Katanya, antara perkara dibangkitkan adalah untuk meminta tindakan mendakwa diambil kepada majikan yang belum mematuhi kadar yang ditetapkan itu.


“Sebab ia boleh sampai pada tahap memenjarakan majikan kalau syarikat gagal bayar. Sekarang saya cuma boleh nasihatkan pekerja yang kita sedang dalam perbincangan.


“Kita tak mahu pekerja juga ambil tindakan ke arah melakukan demonstrasi,” ujarnya.


Dalam pada itu, Kamarul Baharin menyarankan supaya kontrak pekerja pembersihan di sekolah dan hospital diperuntukkan kepada konsesi berbanding kontraktor kecil.


Katanya, ini kerana konsesi mempunyai dana besar sekiranya berlaku perubahan terutama kadar gaji yang ditetapkan.


“Cadangan ini pernah disuarakan kepada kerajaan dahulu, namun tak diterima sebab nak bantu kontraktor kecil, tetapi yang jadi mangsa adalah pekerja yang beribu-ribu ini.


“Selain itu, kontrak itu juga boleh diperuntukkan kepada koperasi di sekolah dan hospital kerana pengurusannya yang teratur dan dalam masa sama dapat menambah keuntungan kepada pihak koperasi,” katanya. – UTUSAN


Sumber: UTUSAN / FMT

Blog authors

No comments