Rakyat ternanti Bantuan Khas Covid-19 - BKC

 


PETALING JAYA : Rakyat masih menanti pembayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) seperti dijanjikan kerajaan menerusi  Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang sepatutnya diagihkan  bulan ini.


Namun sehingga kini, tiada khabar mengenai perkara tersebut sedangkan Ogos berbaki enam hari lagi.


Rata-rata rakyat mahu kerajaan pimpinan Perdana Menteri  baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempercepat bayaran BKC kerana dijanjikan agihan dilakukan bulan ini.


Tinjauan di media sosial mendapati, orang ramai melahirkan kekecewaan dengan agihan BKC yang belum dilakukan memandangkan mereka sangat memerlukan wang bagi menampung keperluan hidup khususnya kehilangan pendapatan.


Tinjauan di akaun ‘Bantuan Khas Covid-19’ menerusi laman Facebook yang diwujudkan khas untuk penerima bantuan memaparkan keluhan orang ramai yang akhirnya terpaksa meminjam wang daripada keluarga atau rakan-rakan kerana kesempitan hidup akibat kesan Covid-19.


Seorang pengguna Facebook dikenali Rabiatul Husna mengesa kerajaan menyegerakan agihan BKC kerana dia perlu membeli susu anak yang sudah habis.


“Mana BKC? Sunyi dan sepi tanpa tanda, susu anak dah nak habis. Bantuan masih lagi menyepi, cepatkanlah bantuan masuk susu anak-anak kami dah tinggal bekas sekarang, tolonglah percepatkan proses BKC,” luahnya.


Seorang lagi rakyat, Hanizan Ponasir memaklumkan dia sudah banyak kali berulang-alik ke mesin juruwang automatik (ATM) untuk menyemak sama ada BKC itu masuk atau sebaliknya.


“Kasihan pada kita dan sahabat lain yang terpaksa ulang-alik ke bank untuk semak pengeluaran. Insya-Allah doakan ada pembayaran pada minggu ini,” katanya.


Malah ada tidak kurangnya yang simpati untuk memberikan bantuan kepada mana-mana rakyat terkesan.


“Yang betul terjejas dan tidak mampu sahaja boleh mesej saya. Insya-Allah saya akan tolong setakat mana mampu. Tetapi jangan minta duit, saya tidak akan sesekali bagi duit,” jelas pengguna Facebook dikenali Nurshaida.


Kerajaan sebelum ini di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian BKC dengan kadar dan kategori seperti berikut:


* Pertama, isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos, RM500 pada November, dan RM300 pada Disember. Individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.


* Kedua, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember. Bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos.


* Ketiga, isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak RM250 manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada Ogos. – UTUSAN ONLINE



Sumber: Utusan Online / Utusan Malaysia

Catat Ulasan

0 Ulasan