Penduduk Afghanistan tinggalkan negara sendiri

Kawasan pasar di Lashkar Gah lengang selepas dikosongkan pasukan tentera Afghanistan yang menjangkakan serangan pemberontak Taliban. - Foto EPA / Bharian


KANDAHAR: Penduduk Afghanistan melarikan diri meninggalkan negara susulan tentera Afghanistan melancarkan serangan balas terhadap Taliban di sebuah bandar utama di selatan.

Pertempuran dengan pemberontak semakin sengit sejak kebelakangan ini termasuk serangan bom di Kabul semalam yang mengorbankan lapan orang, berikutan Taliban giat berusaha menguasai negara itu.

Puluhan orang awam terbunuh dalam pertempuran di Lashkar Gah, sebuah bandar dengan 200,000 penduduk, yang akan menjadi kemenangan terbesar buat Taliban jika berjaya menawannya.

Seorang penduduk, Saleh Mohammad, berkata beratus-ratus keluarga melarikan diri ketika tentera meminta orang awam keluar dari bandar itu semalam, bagaimanapun ramai yang terperangkap dalam kebakaran.

"Tidak ada cara untuk melarikan diri dari daerah itu kerana pertempuran terus berlangsung, tiada jaminan bahawa kita tidak akan terbunuh dalam perjalanan," katanya.

Pemberontak menguasai banyak kawasan kampung dan bandar di sempadan utama, dengan memanfaatkan ketiadaan pasukan keselamatan sejak pengunduran pasukan Amerika Syarikat (AS).

Taliban kini mensasarkan bandar utama, dengan melancarkan pertempuran sengit selama seminggu di sekitar Herat berhampiran sempadan dengan Iran, selain Lashkar Gah dan Kandahar di selatan.

Pertempuran di Lashkar Gah awal hari ini menyaksikan pertempuran sengit antara pasukan Taliban dan tentera Afghanistan.

Seorang penduduk, Halim Karimi, berkata tentera meminta orang ramai mengosongkan bandar ketika mereka bersiap sedia untuk melakukan serangan balas.

"Keluarga yang mempunyai kewangan kukuh atau kenderaan sudah meninggalkan kediaman mereka, tetapi yang tidak mampu seperti kami hanya bertahan di rumah.

"Kami tidak tahu ke mana harus pergi atau bagaimana untuk pergi. Kami lahir untuk mati," ," katanya kepada AFP.

Kehilangan Lashkar Gah, ibu negeri Helmand selatan, akan menjadi tamparan strategi dan psikologi besar kepada kerajaan.

Taliban sudah menguasai beberapa stesen radio dan TV di bandar serta mula bergerak ke rumah penduduk.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam berkata sekurang-kurangnya 40 orang awam terbunuh di Lashkar Gah dalam tempoh 24 jam sebelumnya. - AFP


Sumber: Bharian / AFP


Group Baru Join kami di Telegram Untuk Mendapatkan info-info dan banyak lagi jangan terlepas

👉 https://t.me/infomediabah


Catat Ulasan

0 Ulasan