KOTA KINABALU: Tiada sambutan Tadau Kaamatan peringkat daerah tahun ini, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, berkuat kuasa bermula hari ini hingga 17 Mei depan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, bagaimanapun berkata majlis pelancaran peringkat negeri di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang, lusa diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Kerajaan Sabah memutuskan tiada sambutan Kaamatan peringkat daerah pada kali ini, kecuali untuk pelancaran Kaamatan pada Sabtu ini di Hongkod Koisaan KDCA yang akan dibuat secara simbolik.
“Program seperti pertandingan Unduk Ngadau, Sugandoi dan lain-lain pada peringkat daerah akan diteruskan tetapi program lain seperti majlis pelancaran tidak akan diadakan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjur Kaamatan peringkat negeri, berkata semua acara sambutan Kaamatan peringkat daerah dan negeri pada kali ini akan dibuat secara dalam talian, tanpa kehadiran orang ramai seperti kebiasaan sebelum ini.
Keputusan itu, katanya, diambil bagi memastikan tiada kluster baharu COVID-19 yang dikaitkan dengan sambutan Kaamatan yang boleh menjejaskan usaha memerangi penularan virus COVID-19.
Sambutan Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai dirayakan sepanjang Mei oleh masyarakat Kadazandusun dan Murut di Sabah bermula dengan majlis pelancaran peringkat negeri pada 1 Mei dan berakhir dengan kemuncak sambutan pada 30 dan 31 Mei, di Hongkod Koisaaan KDCA di Penampang.
Kebiasaannya, sambutan Tadau Kaamatan dimeriahkan dengan pelbagai program tradisi dan kebudayaan masyarakat Kadazandusun dan Murut sebagai tanda kesyukuran masyarakat berkenaan terhadap hasil tanaman, khususnya padi yang mereka usahakan. – BH Online
Sumber: Sabahpost / BH Online / Foursquare
Group Baru Join kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah dan banyak lagi: klik