info

Polis keluar kompaun RM10,000 langgar SOP mulai hari ini

Admin
March 12, 2021
0 Comments
Home
info
Polis keluar kompaun RM10,000 langgar SOP mulai hari ini
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini. - Foto Bernama / Bharian


KUALA LUMPUR: Mulai hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada individu yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berulang, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.


Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah sebenar kompaun dikenakan itu tertakluk kepada budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) jika pesalah membuat rayuan.


Katanya, kerajaan mewartakan jumlah kesalahan kompaun terhadap mereka yang melanggar SOP sebanyak RM10,000 berbanding RM1,000 sebelum ini susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai jam 12.01 tengah malam tadi.


"Notis kompaun ditulis bernilai RM10,000 jika melanggar SOP, namun ia bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu PKD untuk menetap nilai sebenar kompaun dikenakan.


"Keputusan menaikkan nilai kompaun itu bagaimanapun bukan untuk menghukum orang ramai secara berlebih-lebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai," katanya pada sidang media di Bukit Aman, tengah hari tadi.


Abdul Hamid berkata, pindaan ini dibuat bertujuan mengingatkan orang ramai bahawa perang ke atas COVID-19 masih belum berakhir.


Beliau berkata, individu dikenakan kompaun boleh memohon rayuan kepada PKD untuk dipertimbangkan jumlah bayaran mengikut budi bicara.


"Kompaun maksimum RM10,000 ini hanya dikenakan kepada kesalahan berulang yang dilakukan.


"Kita akan mengesan individu yang melakukan kesalahan berulang menerusi sistem dibangunkan," katanya.


Katanya, pesalah ini membabitkan individu yang tidak memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, premis gagal menyediakan pengimbas suhu badan, cecair pembasmi kuman, bersesak dalam premis tanpa kawalan dan aktiviti hiburan tanpa lesen.


"Seperti saya sarankan sebelum ini, sasaran nilai tinggi adalah pesalah degil dan kesalahan berulang. Nama mereka sudah masuk dalam sistem.


"Ini yang patut dikenakan denda tinggi, tak semestinya RM10,000 dan ini bergantung budi bicara pegawai yang mengenakan kompaun," katanya.-Bharian


Sumber: Bharian



Blog authors

No comments