info

KWSP bekukan sementara transaksi i-Sinar untuk kreditkan dividen

Admin
February 18, 2021
0 Comments
Home
info
KWSP bekukan sementara transaksi i-Sinar untuk kreditkan dividen

 

Gambar hiasan. -Foto NSTP

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu membekukan sementara transaksi membabitkan i-Sinar bagi membolehkan sistem KWSP mengkreditkan dividen tahun 2020 ke dalam akaun ahli selepas pengumuman dividen pada hujung bulan ini.


Ia juga memerlukan sedikit masa untuk memproses permohonan i-Sinar berikutan berlaku perubahan dalam proses kelulusan.  


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan telah berbincang dengan KWSP untuk mempermudah proses kelulusan, terutamanya bagi mereka yang telah membuat permohonan, atau permohonannya sedang diproses.


"Pengumuman telah dibuat pada 11 Februari lalu mengenai pemansuhan syarat i-Sinar bertujuan mempermudah ahli membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1.


"Langkah ini diharap dapat membantu rakyat mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.


"Sehubungan itu, kerajaan telah berbincang dengan pihak KWSP untuk mempermudahkan proses kelulusan.


"Ini akan membabitkan perubahan kepada sistem KWSP, yang akan mengambil sedikit masa.


"Masa juga diperlukan untuk membekukan transaksi buat sementara waktu bagi membolehkan sistem KWSP mengkreditkan dividen tahun 2020 ke dalam akaun ahli selepas pengumuman dividen pada hujung bulan ini," katanya dalam kenyataan sempena Laporan Laksana ke-41 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin), hari ini.


Minggu lalu, KWSP dengan kelulusan Menteri Kewangan mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP berkuatkuasa 1 Mac 2021.


Pada 11 Februari lalu, Tengku Zafrul turut mengumumkan bahawa KWSP sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambahbaik inisiatif itu selepas mengambil kira maklum balas pihak awam.


Katanya, pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar itu akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki sedia ada.


Malah, bagi ahli yang memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.


Bagaimanapun, jumlah pengeluaran dari Akaun 1 serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, iaitu bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.


Manakala, ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 dengan pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000. -hmetro


Sumber: hmetro


Group Baru Join kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah dan banyak lagi: klik 

Blog authors

No comments